KUALA LUMPUR: Tiada kuota tambahan haji diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada mana-mana negara, termasuk Malaysia bagi musim haji 1446H/2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata kuota tambahan hanya diberikan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) pada musim haji 1445H dan telah digunakan sepenuhnya termasuk oleh pengelola jemaah haji.
Tambahnya lagi, tiada kuota rasmi haji Malaysia yang tidak digunakan dari tahun 2020 hingga kini.
“Kuota rasmi haji tahunan Malaysia yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 31,600 jemaah. Ia ditentukan berdasarkan ketetapan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), iaitu 0.1 peratus daripada jumlah penduduk Islam di sesebuah negara,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab cadangan tambahan daripada Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang mencadangkan supaya kuota tambahan diberikan kepada ejen pelancongan yang sah agar tidak disia-siakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Na’im turut menyentuh faktor agihan keuntungan Tabung Haji sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024 iaitu kadar tertinggi dalam tujuh tahun disebabkan penolakan bantuan subsidi haji oleh jemaah.
“Seramai 263 jemaah menolak bantuan subsidi secara sukarela pada tahun ini, manakala pada tahun 2023, seramai 396 jemaah berbuat demikian,” jelasnya.
Mengulas isu penipuan oleh ejen tidak sah yang menyebabkan 47 jemaah haji terkandas baru-baru ini, beliau memaklumkan kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tabung Haji, dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Katanta, tujuan jawatankuasa ini adalah bagi menyekat sebarang usaha mana-mana pihak atau syarikat membawa jemaah tanpa permit yang sah.
Selain itu, wujud perbincangan berkenaan cadangan menempatkan pengurusan umrah di bawah Tabung Haji, menggantikan MOTAC. Namun, beliau menegaskan perkara itu tidak menjadi isu utama.
“Usaha memberi penjelasan kepada umat Islam mengenai kepentingan memiliki permit sah sebelum menunaikan haji juga giat dilaksanakan, termasuk melalui khutbah Jumaat di seluruh negara,” katanya.
“Sekiranya ada maklumat diterima, kita boleh halang tetapi mengenai isu 47 jemaah itu, kita tidak boleh halang kalau mereka hendak bergerak ke negara lain.
“Kumpulan itu seolah-olah hendak bercuti ke Turkiye ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan dari situ bergerak ke Makkah untuk menunaikan Haji,” katanya.
