KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan tiga ketakteraturan serius membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM460 juta.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, terdapat kelemahan tatakelola dalam pelaksanaan perolehan pajakan empat ladang sawit oleh FELCRA Berhad melibatkan nilai RM241.76 juta dalam tempoh 2022 hingga 2024.
Beliau berkata, selain itu terdapat ketakteraturan yang serius serta kelemahan dalam proses perolehan tender dan tatakelola pengurusan perolehan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melibatkan tiga tender berjumlah RM58.45 juta.
“Laporan turut mengenal pasti kelemahan dalam pentadbiran kontrak dan pengurusan perolehan bagi kenderaan perisai Tentera Darat untuk tempoh 2020 hingga 2023 meliputi denda RM162.75 juta belum dikutip serta denda RM1.42 juta belum dikenakan terhadap syarikat kerana kelewatan perkhidmatan senggaraan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Wan Suraya, turut didapati perolehan perkhidmatan senggaraan, pembaikan dan pembekalan alat ganti kenderaan perisai bernilai RM107.54 juta telah dilaksanakan secara pecah kecil.
Katanya, laporan tersebut turut mengenal pasti kelemahan dalam pelaksanaan program, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan program minyak masak bersubsidi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), khususnya tiada penetapan agihan minyak masak kepada golongan sasaran yang memerlukan dan layak diberi bantuan.
“Usaha KPDN untuk mengurangkan kuota bekalan minyak masak bersubsidi sejak 2016 wajar diteruskan. Tindakan tersebut dapat memberikan impak positif dalam usaha membanteras ketirisan melalui pengedaran yang lebih bersasar selaras dengan syor Audit,” katanya.
Selain itu katanya, Kaedah Perolehan Pre-Q Terpilih baharu yang diperkenalkan Kementerian Kewangan (MOF) turut didapati wujud ruang manipulasi dan ketidaktelusan dalam pemilihan syarikat.
Ini kerana terdapat syarikat yang tidak memenuhi kriteria penilaian pada Peringkat Pertama atau tidak dipelawa tetapi terpilih dan dinilai pada Peringkat Kedua.
“Proses perolehan juga mengambil masa yang lama dan melebihi tempoh ditetapkan.
“Syor Audit supaya kaedah Perolehan Pre-Q Terpilih tidak wajar diteruskan dan kaedah perolehan tender terbuka adalah lebih sesuai dilaksanakan bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam proses perolehan,” katanya.
