KUALA LUMPUR: Pemuda DAP menggesa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka berikutan pendiriannya yang bercanggah dengan keputusan UMNO untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan.
Sayap pemuda DAP, DAP Socialist Youth (DAPSY) berkata, gesaan itu susulan penegasan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai UMNO akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Menurut DAPSY, Dr. Muhamad Akmal perlu berpegang kepada pendirian yang dinyatakan secara terbuka sebelum ini dan bertindak selaras dengan kenyataannya.
“Dr. Muhamad Akmal harus meletak jawatan segera dan melaksanakan pendirian yang diambil iaitu keluar daripada Kerajaan Perpaduan di Melaka. Jangan bercakap tidak serupa bikin.
“Jika masih mahu mengekalkan jawatan sedia ada, beliau harus menelan semula kenyataan terdahulu dan menghentikan segala tindakan serta retorik yang hanya bertujuan merosakkan usaha kerajaan dalam melaksanakan agenda reformasi dan menjaga kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika ini, Kerajaan Negeri Melaka yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyokong Kerajaan Perpaduan, dengan beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Timbalan Exco dilantik dalam kalangan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).
Gesaan supaya Dr. Muhamad Akmal meletakkan jawatan itu dibuat susulan kenyataannya pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO, Sabtu lalu, yang meminta UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan serta menghidupkan semula kerjasama Muafakat Nasional bersama Pas.
Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk dalam kalangan penyokong PH dan pemimpin serta ahli UMNO.
Hari ini, menerusi satu kenyataan di akaun Facebook miliknya, Dr. Muhamad Akmal turut memberi bayangan akan berundur, namun tidak menjelaskan secara terperinci maksud di sebalik kenyataan tersebut.
Pemuda DAP mendakwa tafsiran Dr. Muhamad Akmal Presiden UMNO bersetuju dengan agenda penyatuan orang Melayu merupakan satu cubaan mengelirukan rakyat dan tidak menghormati pendirian rasmi parti.
Menurut DAPSY, pengalaman kerjasama antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2020 hingga 2022 jelas membuktikan ia membawa ketidakstabilan politik serta kerugian kepada UMNO sendiri.
“Sebarang usaha untuk mengulangi langkah sama hanya akan mengkhianati mandat rakyat dan menjejaskan masa depan parti,” katanya.
Pemuda DAP turut menegaskan fokus kerajaan ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha memulihkan ekonomi, meringankan beban kos sara hidup rakyat serta meneruskan agenda reformasi negara.
