
KANGAR: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis memfailkan saman pemula terhadap Speaker DUN Perlis bagi mencabar pengisytiharan kekosongan luar jangka tiga kerusi DUN.
ADUN Guar, Sanji Mohd Ridzuan Hashim, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Chuping Saad Seman diberhentikan keahlian PAS pada 24 Disember lalu, sebelum Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan mengumumkan kekosongan kerusi berkenaan keesokan harinya.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, mereka mendakwa pengumuman bertarikh 25 Disember itu dibuat di luar bidang kuasa Speaker.
“Dalam hal ini, kami menghormati pandangan Speaker tetapi berpendapat keputusan mengisytiharkan kekosongan kerusi itu adalah ‘terkhilaf dan berada di luar aturan’.
“Susulan itu, kami mengambil tindakan memfailkan saman pemula terhadap Speaker sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua bagi menuntut mahkamah membatalkan pengisytiharan itu,” katanya.
Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan diambil demi kebajikan rakyat kerana ketiadaan wakil rakyat selama hampir dua tahun sebelum pilihan raya negeri seterusnya dianggap menjejaskan kepentingan pengundi di kawasan terbabit.
“Kami menuntut pengisytiharan yang dibuat defendan pertama adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif.
“Selain itu, kami memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah,” katanya.
Mereka berkata tindakan saman itu difailkan melalui peguam, Mohd Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners.






