IPOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan seorang lelaki yang didakwa mencederakan ibu bapanya menggunakan pedang samurai sehingga parah supaya menjalani penilaian psikiatri.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad mengeluarkan perintah tersebut terhadap tertuduh, Muhammad Aiman Suhaimi, 30, yang mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan yang dihadapinya, bagi menentukan tahap kesihatan mentalnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan bapanya, Suhaimi Dawi, 58, dan ibunya, Shahaliza Ahmad Hashim, 58, menggunakan senjata berkenaan di sebuah rumah di Bandar Baru Putra, dalam daerah Kinta, pukul 6.30 pagi pada 26 Disember lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 326A, tertuduh berdepan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi menjalani penilaian psikiatri dan menetapkan 30 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, polis mengesahkan penahanan seorang lelaki pada 26 Disember lalu berhubung kejadian mengamuk dan mencederakan dua ahli keluarganya di sebuah rumah di Bandar Baru Putra.
