KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya masih kukuh, manakala gesaan daripada beberapa pemimpin tertentu untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) disifatkan belum berada pada tahap serius.
Katanya, semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan sudah menyatakan komitmen untuk terus menumpukan perhatian terhadap agenda pemulihan dan pertumbuhan ekonomi, selain membela nasib rakyat sehingga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“(Gesaan menghidupkan semula MN) itu belum serius. Saya belum mendapat maklumat lanjut mengenainya dan itu merupakan keputusan parti masing-masing.
“Apa yang penting, ketika ini Kerajaan Perpaduan masih utuh,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, Petaling Jaya, hari ini.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa 25 minit menjamu selera bersama penduduk setempat di sebuah kedai makan di sini sebelum menunaikan solat Jumaat.
Mengulas kemelut dalaman yang melanda Bersatu dan Pas yang mula mencetuskan reaksi dalam kalangan parti tertentu dalam Kerajaan Perpaduan khususnya UMNO, Anwar menegaskan perkara itu tidak memberi sebarang kesan kepada kestabilan kerajaan.
“Soal idaman dan igauan pembangkang, termasuk isu perpecahan mereka, bukanlah masalah saya.
“Itu masalah Pas dan Bersatu. Perpecahan mereka bukan masalah Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sebelum ini, kemelut dalaman antara Bersatu dan Pas mencetuskan gesaan daripada beberapa pemimpin UMNO dan Pas agar gagasan Muafakat Nasional yang pernah diterajui kedua-dua parti itu dihidupkan kembali.
Namun, setakat ini gesaan berkenaan hanya melibatkan pandangan individu tertentu dan belum diputuskan secara rasmi atau menjadi pendirian muktamad sama ada oleh UMNO mahupun Pas.
