
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd mencatatkan rekod baharu apabila lebih 1.54 juta perjalanan penumpang bagi perkhidmatan rel dan bas pada 31 Disember lalu, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi dalam sejarah operasi Rapid KL dan Rapid Penang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 0.76 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Katanya, kecekapan koordinasi serta pengurusan kawalan orang ramai melibatkan 3,000 petugas barisan hadapan Rapid KL di Lembah Klang membolehkan perkhidmatan pengangkutan awam beroperasi dengan lancar, selamat dan selesa sepanjang sambutan ambang Tahun Baharu 2026.
“Keberkesanan penyelarasan operasi di lapangan memastikan perkhidmatan Rapid KL terus berfungsi dengan baik walaupun berdepan lonjakan penumpang yang tinggi di beberapa lokasi tumpuan sambutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan rekod, jumlah pengguna perkhidmatan rel pada tarikh berkenaan mencecah 1.29 juta penumpang, manakala perkhidmatan bas termasuk Rapid On-Demand (ROD) merekodkan seramai 251,737 penumpang.
Bagi perkhidmatan rel, Laluan Kajang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 396,141 penumpang, diikuti Laluan Kelana Jaya (321,381 penumpang), Putrajaya (234,158 penumpang), Ampang/Sri Petaling (246,885 penumpang) dan Monorel (90,748 penumpang).
Sementara itu, perkhidmatan bas termasuk ROD merekodkan 183,944 penumpang bagi Rapid KL, 48,002 penumpang bagi Rapid Penang dan 19,791 penumpang bagi BRT Sunway.
Amir berkata, kejayaan mengendalikan operasi berskala besar itu membuktikan tahap kesiapsiagaan serta profesionalisme warga kerja Rapid KL dalam memastikan perkhidmatan pengangkutan awam dapat diurus secara berkesan meskipun berdepan cabaran operasi yang mencabar.
Beliau turut memaklumkan kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kawalan trafik serta penguatkuasaan laluan bas membantu memastikan perkhidmatan bas beroperasi mengikut jadual walaupun keadaan trafik sesak di sekitar pusat bandar.
Selain itu, koordinasi menyeluruh antara Pasukan Polis Bantuan Prasarana, penganjur acara serta pasukan keselamatan pusat beli-belah utama turut memainkan peranan penting dalam mengurus aliran penumpang dan memastikan keselamatan orang ramai berada pada tahap optimum.




