
KOTA TINGGI : Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO belum menerima sebarang makluman rasmi mengenai cadangan untuk menghidupkan semula kerjasama UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, setakat ini pandangan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh disifatkan pendirian peribadi dan belum dibincangkan atau diputuskan di peringkat kepimpinan tertinggi parti.
“Pandangan individu ataupun mungkin pandangan kebanyakan pemuda tetapi parti bergerak atas sokongan dan keputusan bersama oleh pelbagai peringkat. Tak ada (perbincangan). Kita belum mesyuarat lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Kampung Malam Di Dewan Terbuka Pangkalan Kota, di sini .
Muhamad Akmal sebelum ini mencadangkan semula Kerjasama dalam MN dan Perikatan Nasional (PN) dibubarkan susulan polemik politik di Perlis.
Sementara Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata hubungan parti Islam itu bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih baik sekali gus membuka ruang untuk menghidupkan semula MN.






