KUALA LUMPUR: Seramai kira-kira 10,000 pelajar di kawasan Parlimen Titiwangsa menerima bantuan kelengkapan persekolahan dan sumbangan wang tunai sempena Program Kembali ke Sekolah di sini hari ini.
Program tahunan anjuran Yayasan Bena Nusa itu bertujuan membantu pelajar daripada keluarga memerlukan membuat persiapan sebelum sesi persekolahan 2026 bermula.
Pemberian bantuan berkenaan melibatkan para pelajar bermula tahap satu sehingga tingkatan enam.

Majlis diadakan di Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat dan Dewan Yayasan Bena Nusa itu disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Pemberian bantuan berkenaan melibatkan Zon Datuk Keramat, Zon Kampung Pandan dan Zon Kampung Bharu.
Seorang penerima bantuan, Azlan Ahmad, 40 berkata, program berkenaan dapat mengurangkan beban ibu bapa terutama apabila sesi persekolahan baharu akan dibuka kelak.
“Saya sangat bersyukur kerana Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tidak pernah melupakan masyarakat setempat.
“Ia secara tidak langsung dapat membantu ibu bapa yang ingin membeli peralatan persekolahan untuk anak-anak mereka,” katanya ketika ditemui Ceritera hari ini.

Dalam pada itu, Chia Wei Ling, 39 menambah, dua orang anaknya menerima bantuan pada hari ini.
“Program sebegini sangat bagus untuk masyarakat setempat terutama mereka yang memerlukan bantuan apabila kos sara hidup semakin tinggi.
“Saya sangat berterima kasih kepada Datuk Johari Ghani kerana sentiasa prihatin dengan masyarakat setempat malah saban tahun sentiasa memberi bantuan untuk sesi persekolahan baharu,” katanya.

Bagi suri rumah, Subashini Nathan, 51 berkata, banyak persiapan yang perlu dilakukan apabila sesi persekolahan baharu.
“Justeru, bantuan disalurkan kepada masyarakat setempat ini merupakan satu program yang cukup bermakna,” katanya.
