SEPANG: Seramai 91 peserta Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan 2.0 anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. menerusi kerjasama Yayasan Imanul Faizin dan Masjid Imanul Faizin, Kota Bharu berlepas ke Tanah Suci hari ini bagi menunaikan umrah buat kali pertama.
Kesemua jemaah berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira pukul 11 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines (MH150) menuju ke Jeddah, Arab Saudi.
Ketua rombongan, Rohani Md Yusoff berkata, program itu bertujuan melahirkan belia berakhlak, berdisiplin dan berilmu di samping mengimarahkan institusi masjid serta mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian.

Beliau menambah, para peserta terdiri daripada 50 wanita dan 41 lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun yang memenuhi syarat ditetapkan antaranya individu lahir di Kelantan, belum berkahwin serta belum pernah menunaikan umrah.
“Ia merupakan kesinambungan program tahun lalu tetapi kali ini terdapat perbezaan dengan menekankan pembentukan jati diri melalui pengisian rohani dan sahsiah, kewajipan solat berjemaah lima waktu, pendedahan kepada ilmu keusahawanan, komunikasi dan pengurusan jenazah.
“Sebelum pemilihan 91 peserta tersebut, saringan awal dan sesi temu duga yang ketat telah diadakan melibatkan kira-kira 300 hingga 600 pemohon,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di KLIA di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang peserta, Muhammad Ikram Azman menzahirkan rasa syukur dan gembira selepas terpilih menyertai program berkenaan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Andalusia kerana memberi peluang kepada golongan muda menunaikan umrah.
“Saya akui proses saringan yang dilalui sukar dan hampir tidak berjaya, namun tetap berserah kepada ketentuan Ilahi,” katanya.

Peserta, Nur Amal Rumaisha Ek Noorza pula menyifatkan pemilihan itu sebagai jemputan dari Allah SWT yang tidak disangka-sangka, memandangkan sekadar mencuba nasib dalam sesi temu duga.
“Ia sekali gus menjadikan pengalaman menunaikan umrah percuma pada usia muda sebagai detik yang amat bermakna,” katanya.
