PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan Selangor FC 2-0 pada perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.
Skuad kendalian Xisco Munoz membuka tirai jaringan seawal minit ke-7 melalui rembatan kencang Nacho Mendez yang terkena pertahanan Selangor sebelum menerjah gawang.
JDT hampir menggandakan jaringan beberapa minit kemudian tetapi percubaan satu lawan satu Jairo Da Silva gagal menepati sasaran.
Selangor FC cuba bangkit pada minit ke-17 tetapi percubaan satu lawan satu Chrigor berjaya diselamatkan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.
Pemain sayap Gergasi Merah, Faisal Halim gagal menyamakan kedudukan pada minit ke-27 apabila rembatannya tersasar.
Skuad Harimau Selatan memastikan kemenangan mutlak melalui Bergson Da Silva pada penghujung perlawanan.
JDT kekal di persada liga dengan 39 mata manakala Selangor FC kekal dengan 25 mata menghuni tangga keempat.
