KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd komited memastikan keselesaan dan kelancaran urusan jemaah sepanjang perjalanan ke Tanah Suci, bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga pulang ke tanah air.
Wakil Andalusia memaklumkan, menjelang perjalanan ke Tanah Suci, syarikat itu menyediakan Kursus Umrah Percuma setiap minggu di semua cawangan seluruh Malaysia bagi memberi peluang kepada bakal jemaah mendapatkan panduan lengkap tentang perjalanan dan tatacara ibadah umrah.
Katanya, program itu dikendalikan tenaga pengajar berpengalaman untuk memastikan setiap peserta lebih bersedia secara fizikal dan rohani sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Setibanya hari keberangkatan umrah, pegawai Andalusia akan ditempatkan di KLIA bagi membantu jemaah dalam proses daftar masuk, semakan dokumen dan keperluan perjalanan bagi memastikan segalanya berjalan lancar.
“Selain itu, para jemaah diberikan taklimat ringkas dan panduan terakhir sebelum berangkat, disusuli dengan majlis doa selamat bagi meningkatkan persiapan rohani serta jasmani mereka,” katanya kepada Ceritera.
Menurutnya, sepanjang berada di Tanah Suci, Andalusia menempatkan pegawai khas di Mekah dan Madinah bagi menyantuni serta memantau keperluan jemaah.
Selain itu katanya, mutawif berpengalaman akan mengiringi setiap kumpulan bagi membimbing pelaksanaan ibadah dengan tertib dan sempurna.

“Khidmat rundingan dan kebajikan turut disediakan bagi memastikan setiap jemaah mendapat bantuan sewajarnya, termasuk aspek kesihatan, kebajikan serta sebarang keperluan mendesak yang timbul di Tanah Suci,” katanya.
Menurutnya, sebaik jemaah tiba di tanah air, Andalusia turut menyambut kepulangan para jemaah umrah di KLIA sebagai tanda penghargaan atas kepercayaan mereka memilih perkhidmatan syarikat itu.
“Sambutan ini melambangkan hubungan kekeluargaan antara syarikat dan para jemaah serta menjadi detik penuh makna untuk meraikan kejayaan mereka menunaikan ibadah di Tanah Suci,” katanya.
Katanya, langkah menyeluruh itu mencerminkan komitmen berterusan Andalusia dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan pengalaman ibadah yang tenang serta teratur kepada para jemaah.
Sementara itu, dalam usaha menyemarakkan semangat menuntut ilmu dan beribadah, Andalusia turut melancarkan Kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA).

Kempen ini menawarkan peluang menunaikan umrah secara percuma menerusi cabutan bertuah mingguan.
Antara hadiah menarik yang ditawarkan termasuk sebuah kereta, dua buah motosikal, serta pelbagai hadiah lain dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.
Cabutan bertuah diadakan setiap hari Sabtu semasa Karnival JIMBA, dengan siaran langsung boleh diikuti menerusi akaun TikTok rasmi @jimba_andalusia.
