
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dimeterai kerana negara memerlukan peningkatan dalam pelaburan serta perdagangan dengan kuasa ekonomi tersebut.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perjanjian berkenaan turut mengandungi klausa keluar yang membolehkan ia ditamatkan pada bila-bila masa, sekali gus menolak dakwaan kononnya Malaysia menyerahkan kedaulatan perdagangan kepada AS.
“Saya tidak mahu bersikap apologetik. Mengapa kita tetap menandatangani perjanjian ini? Kerana kita memerlukan pelaburan dan perdagangan yang tinggi dengan AS,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjelaskan kandungan perjanjian tersebut turut diperhatikan oleh China bagi memastikan ia tidak menjejaskan peluang kerjasama antara kedua-dua negara.
“Sudah tentu apa sahaja langkah yang diambil oleh AS akan diperiksa baris demi baris oleh China. Persoalannya, adakah ia akan menjejaskan kerjasama dalam bidang semikonduktor atau nadir bumi? Tidak, kerana terdapat klausa keluar,” jelasnya.
Perjanjian ART Malaysia–AS itu ditandatangani pada 26 Oktober lalu oleh Anwar dan Presiden AS, Donald Trump, semasa lawatan rasmi Trump ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan.
Menurut Anwar, pertemuannya dengan Trump turut menyentuh pelbagai isu, termasuk situasi di Gaza, serta agenda perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Beliau menegaskan jemputan kepada Trump dibuat atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi ASEAN 2025, yang mempunyai hak untuk menjemput pemimpin dunia menghadiri sidang kemuncak tersebut.
“Dalam pertemuan dengan AS, tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan perdagangan dan pelaburan, termasuk pembangunan pusat data serta teknologi kecerdasan buatan (AI) yang penting untuk memperkukuh keupayaan teknologi negara,” katanya.
Anwar turut menolak tuduhan Malaysia tunduk kepada AS dalam urusan perdagangan global, dengan menegaskan bahawa hubungan baik negara turut dijalin dengan China.
Katanya, Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini juga menyaksikan termeterainya Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA 3.0), yang membuktikan keseimbangan hubungan perdagangan Malaysia dengan kedua-dua kuasa besar dunia itu.
“Jika benar kita hanya tunduk kepada AS, sudah tentu kita tidak akan mampu memeterai perjanjian FTA dengan China, yang skopnya jauh lebih besar,” katanya.




