
KUALA LUMPUR: Keputusan kes ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, yang berdepan pertuduhan mengabaikan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak autistiknya dua tahun lalu, bakal diketahui esok.
Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh dijangka membacakan keputusan terhadap Ismanira Abdul Manaf, 30, pada pukul 9 pagi.
Pada 5 Ogos lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil lima saksi, termasuk Ismanira sendiri yang memberi keterangan selama tiga hari.
Antara saksi lain ialah bapa mentua tertuduh, Zahari Mohd Reba; ibu saudara suaminya, Zaim Ikhwan, yang juga anggota polis; rakan Ismanira, Umi Syafiqah Rohizal; serta pakar psikologi kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli.
Pada 21 Julai lalu, mahkamah memerintahkan Ismanira membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. Namun, suaminya, Zaim Ikhwan, 30, yang turut didakwa secara bersama, dilepas dan dibebaskan.
Seramai 28 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan, termasuk individu yang menemui mayat Zayn Rayyan pada 6 Disember 2023, Faizul Najib Abd Munaim, 47; guru pendidikan khas mangsa, Siti Aminah Nor Mad Ali; jiran, Siti Natrah Ismail; serta pakar perubatan forensik, Dr Rohayu Shahar Adnan. Dua kanak-kanak berusia 10 tahun turut memberi keterangan sebagai saksi.
Saksi lain termasuk jurugambar polis, anggota Unit K9 Bukit Aman, pegawai penyiasat Nina Syamimi Syamsuddin, Penolong Superintendan Nor Zaharuddin Sanip, serta pegawai penyiasat kanan, Deputi Superintendan Mohd Hafizee Ismail.
Ismanira diperintahkan membela diri bagi pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana didakwa cuai dalam tanggungjawabnya terhadap Zayn Rayyan sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara pukul 12 tengah hari pada 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023, di kawasan sekitar Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, hingga ke anak sungai berhampiran.
Zayn Rayyan hilang pada 5 Disember 2023 selepas dijemput ibunya pulang dari sekolah pada jam 12.30 tengah hari. Mayatnya ditemui keesokan harinya di anak sungai, kira-kira 200 meter dari rumah mereka.
Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh, manakala pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bersama Aqharie Durranie Aziz, Nur Sabrina Zubairi dan Kamarul Iman Ahmad Sapian.






