
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus kepada pengguna kenderaan persendirian selama dua hari pada 23 dan 24 Disember sempena sambutan Hari Krismas.
Diskaun melibatkan kenderaan kelas 1 (kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (LINKEDUA).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan akan menanggung implikasi kewangan kira-kira RM20.65 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.
“Pemberian diskaun tol ini diharap dapat meringankan sebahagian daripada beban kos perjalanan rakyat yang merancang pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama-sama keluarga, selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI membantu rakyat semua peringkat merentas kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan tarikh diskaun tol juga bertujuan menyuraikan trafik musim perayaan dan cuti sekolah serta mengoptimumkan operasi lebuh raya di kawasan hentian serta Rehat & Rawat (RSA).
Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan menggunakan TuJu Highway Navigation App LLM dan MyPLUS-TTA, serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA), had laju, papan tanda dan peraturan di lebuh raya bagi memastikan perjalanan selamat.
Mereka boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook, X @LLMtrafik, TikTok @llmtrafik, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM 1-800-88-7752.





