
KUALA LUMPUR: Anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Naim Kurniawan diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan yang akan berlangsung Januari nanti.
Pengumuman dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Makan Malam BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.
Ia dikongsi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menerusi hantaran di Facebook.
“Calon BN untuk kawasan Parlimen Kinabatangan telah diumum Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Majlis Makan Malam BN iaitu Naim Kurniawan Moktar.
“Diyakini beliau diterima baik oleh rakyat di sana,” katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag perlu diadakan susulan kematian Bung Moktar yang merupakan penyandangnya pada 5 Disember lepas di Kota Kinabalu, Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Sabah pada 24 Januari 2026.







