
PUTRAJAYA: Perceraian tidak seharusnya dipromosikan sebagai jalan pintas dalam menangani krisis rumah tangga, sebaliknya pasangan digesa mendapatkan bimbingan profesional melalui saluran sah dan berautoriti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerajaan memandang serius kemuliaan serta kedudukan tinggi institusi perkahwinan dalam Islam yang menuntut setiap naratif, pendekatan atau istilah berkaitan perceraian ditangani secara berhati-hati, beretika dan bertanggungjawab.
Menurutnya, kewujudan serta promosi perkhidmatan tertentu yang menggunakan penjenamaan seperti ‘Coach Cerai’ menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat terhadap pendekatan sebenar Islam dalam menangani konflik rumah tangga dan krisis perkahwinan.
“Perkahwinan adalah satu amanah agama yang mempunyai implikasi besar terhadap kesejahteraan emosi, sosial dan spiritual pasangan serta anak-anak.
“Usaha yang memudahkan penceraian tanpa melalui proses islah, nasihat dan rundingan yang tersusun berisiko menormalisasikan perceraian sebagai jalan mudah,” katanya dalam satu kenyataan.
Zulkifli berkata, Jabatan Agama Islam negeri-negeri menyediakan khidmat runding cara dan nasihat kepada pasangan suami isteri melalui kaunselor bertauliah serta Pegawai Hal Ehwal Islam yang berautoriti.
Penyelesaian konflik rumah tangga perlu dilaksanakan secara berperingkat dan berlandaskan syariah, termasuk nasihat, proses sulh, pelantikan orang tengah daripada kedua-dua keluarga serta bimbingan kaunseling.
Beliau berkata, khidmat berkenaan boleh diperoleh di Pejabat Agama Islam Negeri dan Mahkamah Rendah Syariah Negeri, sebelum sebarang keputusan besar seperti penceraian dipertimbangkan.
Pasangan yang berdepan konflik rumah tangga turut digalakkan mendapatkan bantuan melalui inisiatif di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seperti KSKCareCentre (KSKCC) yang menawarkan kaunseling berstruktur, profesional dan berlandaskan pendekatan syariah.
“Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga menyediakan kursus pascaperkahwinan Islam sebagai platform bimbingan berterusan untuk memperkukuh kefahaman terhadap tanggungjawab serta hikmah perkahwinan demi keharmonian rumah tangga,” katanya.





