
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah menafikan dakwaan berlaku salah guna kuasa atau penyelewengan dana sumbangan orang ramai melalui Tabung #JusticeForZara.
Setiausaha pertubuhan itu, Sitti Fhaizah Mukthar berkata, tabung berkenaan diwujudkan sepenuhnya bagi membantu keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir serta menyokong proses prosiding inkues yang berlangsung.
“Kami menafikan sebarang dakwaan salah guna atau penyelewengan dana.
“Semua pengurusan kewangan dilaksanakan mengikut prosedur pertubuhan dan peraturan sah yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, semua kutipan dana direkodkan secara teliti dan hanya digunakan bagi tujuan yang telah dinyatakan termasuk kos dokumentasi, khidmat kepakaran, logistik, penginapan keluarga serta keperluan mesyuarat dan operasi.
Katanya, setiap perbelanjaan turut disertakan resit serta dokumen rasmi bagi memastikan tahap akauntabiliti dan ketelusan sentiasa terpelihara.
Beliau memaklumkan, tabung yang dibuka kepada orang ramai dari 8 hingga 12 September lalu berjaya mengumpul dana berjumlah RM255,016.27, dengan perbelanjaan keseluruhan setakat ini sebanyak RM162,155.87.
“Baki semasa tabung setakat semalam adalah RM94,096.97. Kos terbesar melibatkan khidmat kepakaran dan konsultasi profesional berjumlah RM82,747.35, diikuti perbelanjaan logistik serta perjalanan melibatkan RM40,435.54,” katanya.
Katanya, perbelanjaan lain merangkumi kos penginapan sebanyak RM22,119.28 serta dokumentasi dan komunikasi berjumlah RM12,497.
Beliau menjelaskan, semua rekod kewangan Tabung #JusticeForZara sudah didedahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tujuan semakan dan pemantauan, selain terbuka untuk disemak oleh penderma yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut.
Zara Qairina Mahathir, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu, manakala inkues kes kematiannya diarahkan Jabatan Peguam Negara pada 13 Ogos.







