
IPOH: Dua beradik perempuan maut selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan dua rumah berkembar dua tingkat di Kampung Koh, dekat Sitiawan, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata mangsa yang maut ialah dua remaja perempuan masing-masing berusia 18 dan 15 tahun.
Sayani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.01 pagi dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, BBP Seri Manjung serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pantai Remis bergegas ke lokasi kejadian.
“Jentera tiba di lokasi pada 9.10 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan dua rumah berkembar dua tingkat jenis Kelas C berukuran 40 kaki x 70 kaki yang musnah hampir 90 peratus.
“Dua mangsa yang merupakan adik-beradik terperangkap di dalam rumah berkenaan dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sayani berkata kebakaran turut memusnahkan empat kenderaan, iaitu dua Proton Saga, sebuah Proton Perdana dan sebuah motosikal.
Beliau berkata operasi pemadaman berjaya dikawal pada 10.30 pagi dan kerja-kerja pemeriksaan serta pemadaman sisa kebakaran masih dijalankan.
“Pasukan Khas K9 turut dihubungi bagi membantu siasatan dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa, kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Teluk Intan,” katanya.
Sayani turut menyantuni ibu kepada mangsa kebakaran rumah di lokasi kejadian sebagai tanda keprihatinan dan simpati pihak JBPM terhadap keluarga mangsa yang sedang menghadapi detik sukar susulan tragedi berkenaan.- BERNAMA





