
KUALA LUMPUR: Pelantikan ketua jurulatih Harimau Malaya baharu masih dalam perbincangan dengan penilaian menyeluruh akan dilakukan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan keputusan itu memberikan pulangan terbaik kepada bola sepak negara.
“Perkara itu masih dalam perbincangan. Kita akan mengadakan perbincangan bersama dengan FAM dan semua pemegang taruh terlibat.
“Penilaian dibuat secara menyeluruh berdasarkan prestasi dan gerak kerja sebelum keputusan diumumkan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.
Sebelum ini, pengendali dari Jepun Hajime Moriyasu dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya bagi membimbing skuad kebangsaan dalam usaha memburu tiket ke Piala Dunia 2030.
FAM juga dilaporkan tidak menolak kemungkinan mendapatkan khidmat jurulatih asing selepas pembentukan jawatankuasa eksekutif baharu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh skuad kebangsaan menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2030.
Bagaimanapun, pilihan untuk mengekalkan jurulatih tempatan turut terbuka sekiranya calon berkenaan mampu membuktikan kemampuan berdasarkan prestasi dan keputusan pasukan.
Presiden FAM Datuk Ab Ghani Hassan sebelum ini berkata pelantikan ketua jurulatih baharu tidak akan diputuskan oleh presiden secara bersendirian, sebaliknya perlu melalui perbincangan dengan jawatankuasa eksekutif FAM.
Ketika ini, Harimau Malaya dibimbing jurulatih interim Tan Cheng Hoe yang berjaya membawa skuad negara menamatkan saingan di tempat ketiga Piala ASEAN FIFA baru-baru ini dengan rekod tanpa kalah. – BERNAMA






