
KUALA LUMPUR: Polis telah menahan seorang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan berikutan video tular individu memakai tudung sambil minum minuman keras baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, lelaki dan wanita masing-masing berusia 22 dan 24 tahun ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di Subang Jaya, Selangor bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati individu yang minum minuman keras adalah seorang lelaki,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, tangkapan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan berhubung penularan video memaparkan individu memakai tudung sambil minum minuman keras.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5).
“Kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja menghina atau mempermainkan sensitiviti agama sekali gus menimbulkan suasana tidak harmoni.
“Orang ramai turut digesa menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah, serta mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan, terutama berkaitan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja),” katanya.




