KUALA LUMPUR: Polis telah menerima empat laporan berkaitan perhimpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu, termasuk satu insiden melibatkan patung menyerupai Perdana Menteri yang ditemui berhampiran Masjid Negara.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata tiga lagi laporan melibatkan penggunaan dron semasa perhimpunan tersebut.
Beliau berkata, kes berkaitan patung itu sudah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Bagi tiga laporan berkaitan penggunaan dron, kita telah menyerahkannya kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media hari ini.
Katanya, walaupun perhimpunan tersebut berlangsung secara aman dan mendapat kelulusan, pihak polis tetap memantau serta menyiasat sebarang pelanggaran undang-undang yang mungkin berlaku sepanjang perhimpunan itu berlangsung.
