
KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil dua lagi individu sebagai saksi bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan penyanyi Shila Amzah yang mendakwa dirinya diserang secara lisan oleh seorang penyanyi legenda ketika sesi latihan konsert, baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata kertas siasatan kes berkenaan sebelum ini telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC) di Putrajaya dan kini dikembalikan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, siasatan turut dijalankan secara selari dengan satu lagi laporan yang dibuat oleh penyanyi lelaki veteran terbabit.
“Kita telah serahkan kertas siasatan (IP) kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) di Kuala Lumpur dan ia seterusnya dirujuk ke DPP Putrajaya. IP tersebut kini dikembalikan kepada kita, dan sebab itu kita meneruskan siasatan selari dengan laporan yang dibuat oleh (Datuk) Amy Search.
“Justeru, kita akan memanggil dua lagi saksi bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Usuf enggan mendedahkan identiti dua individu yang akan dipanggil bagi memberi keterangan, kerana bimbang ia boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
Beliau turut menjelaskan bahawa insiden tersebut dilihat sebagai isu domestik dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan setakat ini.
Tambahnya, siasatan masih diteruskan mengikut prosedur dan garis panduan undang-undang, dan belum ada sebarang pengesahan berhubung pertuduhan terhadap mana-mana pihak.
Pada 10 Julai lalu, Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah, membuat laporan polis di ibu negara mendakwa diserang secara verbal oleh seorang penyanyi legenda ketika sesi latihan konsert di Stadium Merdeka, sehari sebelum kejadian.
Susulan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Lima hari kemudian, pada 15 Julai, Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman turut tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, dipercayai sebagai laporan balas (‘cover report’) terhadap dakwaan tersebut.





