KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, di Istana Negara, hari ini.
Istiadat tersebut disusuli dengan lafaz sumpah jawatan dan ikrar taat setia yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Seri Paduka juga berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan Presiden Mahkamah Rayuan kepada Datuk Abu Bakar Jais diikuti Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.
Selain itu, turut dikurniakan Suratcara Pelantikan hakim-hakim Mahkamah Rayuan adalah Hakim Dr. Shahnaz Sulaiman, Hakim Datin Paduka Evrol Mariette Felix Michael Peters, Hakim Ong Chee Kwan, Hakim Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid, Hakim Leonard David Shim, Hakim Nadzarin Wok Nordin, Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan Hakim Muniandy Kannyappan.
Turut dikurniakan Suratcara Pelantikan hakim-hakim Mahkamah Tinggi adalah Hakim Maslinda @ Linda Mohd Ainal, Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah, Hakim Dr. Choong Yeow Choy, Hakim Saiful Azian Mokhtar, Hakim Evawani Farisyta Mohamad dan Hakim Indra Nehru Savandiah.
Selain itu, Suratcara Pelantikan hakim-hakim Mahkamah Tinggi turut dikurniakan kepada Hakim Sumathi Murugiah, Hakim Moses Susayan, Hakim Kan Weng Hin, Hakim Dr. Wendy Ooi Su Ghee, Hakim Mohd. Rosli Yusoff, Hakim Dr. Hazlina Hussain, Hakim Roszianayati Ahmad dan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Jawatan Ketua Hakim Negara sebelum ini disandang Tun Tengku Maimun Tuan Mat manakala Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang masing-masing telah bersara pada awal bulan ini, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak digalas Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bersara minggu lalu.
Wan Ahmad Farid sebelum ini Hakim Mahkamah Rayuan memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) dari University of West London dan memperoleh Certificate in Legal Practice (Hons) daripada Universiti Malaya memulakan kerjaya guaman di Tetuan Adnan & Wee, Kuala Terengganu, dari 1987 hingga 2003.
Selain kerjaya perundangan, anak jati Kuala Terengganu itu juga aktif dalam bidang pentadbiran dan politik dengan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2003 hingga 2008 sebelum dilantik Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.
Antara 2011 hingga 2015, Wan Ahmad Farid kembali ke bidang guaman di Tetuan Wan Farid & Surin di Kuala Lumpur hingga dilantik Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu dari 2015 hingga 2019.
Beliau kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024 dan pernah bertugas di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mahkamah Tinggi Shah Alam (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas) serta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas 3).
