
Alor Setar: Kartunis tersohor negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat berkongsi pengalaman dan ilmu pada Pocket Talk sempena Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK 2025).
Dalam sesi perkongsian tersebut, beliau mengimbau perjalanan kerjaya dan penghasilan kartun serta komik berbentuk satira sosial.
Garapan seni Lat yang memaparkan masyarakat majmuk Malaysia di desa dan kota dengan wajah, telatah serta watak tersendiri malah karya ikonik Kampung Boy dikenali sehingga peringkat antarabangsa.

Seniman Negara itu turut menekankan betapa penting memelihara budaya dan identiti tempatan dalam berkarya untuk dijadikan warisan kepada generasi masa depan.
Ditanya mengenai generasi muda yang ingin menceburi bidang seni komik, beliau berkata, mereka perlu sentiasa mendekati muzium-muzium di seluruh negara.
“Sepanjang hayat, saya akan mengunjungi muzium kerana ia membawa perasaan bangga terhadap siapa diri kita.
“Ia bercerita mengenai negara, adat resam, bangsa dan bahasa kita. Apabila memasuki muzium, ia menyedarkan kita bahawa mempunyai sesuatu yang mulia sebagai warganegara Malaysia,” katanya.

Seniman Diraja itu memberitahu, zaman beliau telah berlalu dan berharap generasi pelapis akan terus menghasilkan karya-karya berkualiti.
Beliau yang telah berkecimpung dalam seni kartun dan komik hampir 60 tahun itu berkata, pen, pensil, berus serta kertas masih menjadi ‘permainan’ dalam penghasilan karya sehingga jari-jemari menjadi hitam.
“Saya sudah ketinggalan zaman, perlu mengakui sudah sampai penghujung apatah lagi audiens hari ini tertumpu kepada media sosial.
“Saya bertuah kerana akhbar-akhbar dan majalah-majalah menjadi platform mempertonton hasil karya kepada audiens,” ujarnya.

Bercerita mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI), anak kelahiran Kota Bharu, Perak itu berkata, jika ia dapat mempermudahkan sesuatu pekerjaan tidak salah menggunakan teknologi terkini dalam penghasilan karya.
Bagaimanapun, beliau berkata, tidak semua perkara yang dapat dilakukan dengan menggunakan teknologi AI.
Sementara itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Mohamad Amir Mohd Dahalan berkata, reruai pameran bertemakan enjit-enjit semut di FHMAPK 2025 merupakan salah satu karya yang dihasilkan Lat.
“Enjit-enjit semut ini kelihatan seperti permainan kanak-kanak kampung tetapi mesej yang ingin disampaikan paling jelas dan ketara adalah kita tidak boleh kekal dalam sesuatu keadaan.
“Bila kekal dalam satu keadaan dan tidak selesa kita perlu berubah, itulah yang cuba disampaikan oleh orang-orang terdahulu. Kalau kita hendak keadaan lebih baik, perlu berubah,” katanya.

Sebanyak 102 aktiviti telah disusun sepanjang sambutan FHMAPK 2025 berlangsung di Muzium Padi di sini sehingga 29 Julai nanti.
FHMAPK 2025 mensasarkan 150,000 pengunjung merupakan suatu program berkonsepkan reach out yang mana muzium tidak hanya menunggu untuk dikunjungi tetapi mensasarkan penyampaian untuk sampai kepada semua lapisan Masyarakat di seluruh pelusuk tanah air.




