
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru Ahli Parlimen supaya mengamalkan budaya perbahasan yang beradab dan sopan dalam Dewan Rakyat, tanpa menggunakan bahasa kesat atau menghina pihak lain.
Beliau meluahkan kekagumannya terhadap mutu perbahasan peserta Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 tahun 2025, yang menurutnya berbahas dengan penuh fasih, berani, berilmu, dan bijak mengolah hujah secara berhemah.
“Saya berasa bangga menyaksikan tahap perbahasan mereka. Saya terfikir, alangkah baiknya jika Ahli Parlimen dapat mencontohi mereka untuk berbahas, seseorang perlu menguasai ilmu, memahami isu, mengolah hujah dan menyampaikannya dengan baik.
“Anak-anak ini menunjukkan kehebatan dalam berdebat, bukan sekadar bijak berbicara, tetapi juga mampu memahami dan menyampaikan isi dengan mendalam. Inilah yang perlu dicontohi oleh wakil rakyat kita,” katanya selepas Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 2025, di sini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut memuji generasi pelajar masa kini yang menunjukkan penguasaan tinggi dalam bahasa Melayu, selain berhujah dengan kefahaman dan keyakinan.
Menurutnya, pembentukan negara MADANI tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan inovasi teknologi baharu, sebaliknya perlu disokong oleh nilai adab dan akhlak dalam sistem pendidikan negara.
“Apabila kita bercakap tentang negara MADANI, asasnya perlu didasari nilai moral dan akhlak, sebagaimana ditekankan oleh Sheikh Taha Jabir Al-Alwani dalam karya beliau Adab al-Ikhtilaf,” jelasnya.
Mengulas cabaran dunia semasa yang semakin kompleks, Anwar berkata generasi muda perlu bukan sahaja menguasai ilmu baharu, malah memahami nilai kemanusiaan dan berakar kepada tradisi serta budaya tempatan.
“Kita latih anak-anak bukan sekadar untuk menguasai kemajuan teknologi, tetapi juga untuk mempertahankan akidah, akhlak, dan warisan budaya tempatan. Tanpa gabungan ini, kita hanya meniru acuan negara Barat,” ujarnya.
Dalam pertandingan edisi ke-50 itu, Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang dinobatkan sebagai juara bagi kategori Bahasa Melayu, manakala Sekolah Sultan Alam Shah menjuarai kategori Bahasa Inggeris.





