
KUALA LUMPUR: Empat pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan cedera dalam kemalangan jalan raya kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled, berkata dua daripadanya pelajar Tahun Pertama pengajian Fiqh Wa Usul dan mereka berasal dari Johor.
“Saya mendapat maklumat daripada Atase Pendidikan Johor di Kedutaan Mesir bahawa empat pelajar Malaysia dengan dua daripada dari Johor mengalami kemalangan di Jordan.
“Dua lagi pelajar yang terbabit dalam kemalangan jalan raya itu dari Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Dua pelajar Johor yang terbabit kemalangan itu ialah Muhammad Zakwan Azhar Masjudin dan Muhammad Ilham Dzurllkanian@Zulkarnian,” katanya.
Beliau berkata, dua pelajar dari Johor dan seorang lagi dari Selangor itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Menurutnya, baki seorang lagi pelajar masih dirawat di unit rawatan rapi sebuah hospital di Jordan.
“Marilah kita doakan keempat-empat pelajar ini kembali pulih dan sihat seterusnya dapat meneruskan pengajian mereka, Amin,” ujarnya.