
MANCHESTER: Manchester United menutup tahun 2025 dengan keputusan mengecewakan pada Selasa apabila terikat 1-1 di laman sendiri menentang pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) Wolverhampton Wanderers.
Penyerang Belanda, Joshua Zirkzee, yang jarang diturunkan dalam kesebelasan utama memanfaatkan peluang meledak gol pada minit-27 menerusi rembatan lencong dari luar kotak penalti.
Bagaimanapun, skuad kendalian Rob Edwards berjaya menyamakan kedudukan sebelum waktu rehat hasil tandukan pertahanan Wolves, Ladislav Krejci.
Babak separuh masa kedua, penjaga gol Wolves, Jose Sa, terpaksa bertindak pantas untuk menghalang tandukan rakan sepasukan, Yerson Mosquera daripada menerjah jaring sendiri.
Penjaga gol Manchester United, Senne Lammens, turut diuji melalui percubaan Krejci dan Mosquera tetapi menunjukkan aksi cemerlang menyelamatkan pintu gawang dibolosi pihak lawan.
Manchester United terus hampa apabila jaringan Patrick Dorgu dibatalkan pada minit ke-90 selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) sekali gus menyaksikan United kekal di tangga keenam liga dengan 30 mata.
Wolves pula terus menjadi pasukan tercorot liga dengan tiga mata daripada 19 perlawanan.







