
LONDON: Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal ‘membelasah’ Aston Villa dengan kemenangan besar 4-1 di laman sendiri, Stadium Emirates semalam.
Kemenangan ke atas pasukan kendalian Unai Emery itu, sekali gus mengekalkan kedudukan The Gunners pada puncak liga menjelang Tahun Baharu.
Pertahanan Arsenal Gabriel Magalhaes yang baharu kembali dalam kesebelasan utama selepas berehat akibat kecederaan membuka tirai jaringan hasil sepakan sudut pada awal babak kedua.
Ketua pasukan, Martin Odegaard yang melorongkan hantaran tepat untuk Zubimendi menjaringkan gol kedua empat minit kemudian untuk memastikan Arsenal selesa dengan kedudukan 2-0.
Pada minit ke-69, Leandro Trossard melepaskan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gawang Villa, Emiliano Martínez.
Pemain gantian Gabriel Jesus mengesahkan kemenangan keempat skuad kendalian Mikel Arteta melalui jaringan pada minit ke-78.
Ollie Watkins menjaringkan gol saguhati buat Villa pada masa kecederaan.
Kemenangan itu menyaksikan Arsenal mendahului lima mata di hadapan pasukan di tempat kedua, Manchester City, yang berpeluang merapatkan jurang apabila bertandang ke Sunderland pada Khamis.







