
KUALA PILAH : Seorang penunggang motosikal meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang disahkan positif ganja di Kilometer 23, Jalan Seremban-Kuala Pilah pada Selasa malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu, mangsa berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Honda ditunggang mangsa dan kereta Perodua Viva yang dipandu lelaki terbabit.
“Siasatan awal mendapati, kereta terbabit dari arah Seremban menghala Felda Keratong.
“Namun apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal dipandu mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Muhamad Mustafah, kejadian itu mengakibatkan mangsa maut di lokasi manakala pemandu kenderaan terbabit berusia 23 tahun mengalami cedera ringan.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing ke atas pemandu kereta tersebut mendapati positif dadah jenis ganja.






