KOTA TINGGI : Tawaran menggiurkan di media sosial membawa padah apabila seorang kru penerbangan di Singapura menjadi mangsa sindiket penipuan rentas sempadan sebelum diperdagangkan ke Myawaddy, Myanmar.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Chew, 26, merupakan antara 31 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 20 Disember lalu hasil kerjasama erat pihak berkuasa Malaysia serta negara jiran.
Menurut Chew yang berasal dari Kota Tinggi, Johor, detik hitam dalam hidupnya bermula pada 1 Oktober lalu apabila tertarik dengan iklan di media sosial Facebook mempromosikan barangan perniagaan pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran semasa.
“Pada awalnya saya hanya berurusan secara dalam talian dan diminta datang ke Bangkok, Thailand untuk melihat sendiri stok barangan.
“Saya menaiki pesawat pada 4 Oktober lalu, apabila mendarat di lapangan terbang, saya disambut seorang individu dari gudang berkenaan.
“Individu terbabit memberitahu Bangkok sedang dilanda banjir dan membawa saya ke bandar Tak yang terletak antara Chiang Mai dan Bangkok,” katanya pada sidang akhbar oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng di sini, hari ini.
Chew menambah, apabila berada di Tak, dia dibawa pula ke Myawaddy, Myanmar dengan dikawal ketat ahli sindiket malah pasport diambil mereka.
“Ahli sindiket mengarahkan saya bekerja membuat panggilan Love Scam kepada mangsa di Hong Kong dan perlu memenuhi sebanyak 30 panggilan untuk satu hari.
“Selepas berjaya memujuk mangsa, panggilan berkenaan akan disambung kepada pihak lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, Chew berkata, setiap percubaan membuat panggilan meminta pertolongan termasuk menghubungi ahli keluarga di Malaysia gagal malah dipukul dengan besi.
“Saya pernah dikurung selama lapan hari tanpa diberi makan dan hanya bergantung kepada air tandas,” ujarnya.
Dia menambah, terdapat sekurang-kurangnya 60 rakyat Malaysia ditempatkan di sebuah rumah yang dijadikan pusat panggilan sindiket berkenaan.
