
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama menghala ke utara mula perlahan sejak tengah hari ini susulan peningkatan jumlah kenderaan sempena cuti panjang bermula hari ini.
Plus Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan, kesesakan dikesan antaranya di laluan Sungai Dua menuju ke Juru serta Bukit Merah menghala ke Taiping bermula pukul 11.30 pagi.
Menurut jurucakap PLUS, trafik turut bergerak perlahan akibat kemalangan di Kilometer 291.2 arah utara dari Gopeng ke Simpang Pulai.
“Namun, pasukan PLUS Ronda sudah berada di lokasi bagi memberi bantuan dan mengawal keadaan trafik.
“Bagi laluan arah selatan pula, setakat ini trafik masih lancar,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati selain mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi saluran rasmi PLUS.
Semalam, PLUS menjangkakan jumlah trafik di seluruh rangkaian lebuh raya termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) meningkat sehingga 2.2 juta kenderaan sehari sepanjang tempoh cuti berganda bermula hari ini hingga 7 Jun depan.
Peningkatan itu susulan sambutan Aidiladha, Hari Wesak dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang jatuh dalam tempoh berkenaan.
Pengguna turut digalakkan merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA melalui aplikasi PLUS bagi mengurangkan risiko terperangkap dalam kesesakan.
PLUS juga akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa terjamin.






