
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti impak cabaran bekalan tenaga global terhadap kos sara hidup dan beberapa sektor berkaitan, namun memberi jaminan majoriti rakyat tidak akan terjejas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kira-kira 85 peratus isi rumah di negara ini menggunakan elektrik kurang daripada 600 kilowatt (kW) sebulan, sekali gus tidak terkesan dengan situasi semasa.
“Tidak ada kenaikan. Yang saya maksudkan kos akan naik disebabkan bekalan dunia ini terkesan. Jadi bila terkesan, logistik naik maknanya barangan akan berlaku kenaikan.
“Tapi kos elektrik kita telah memberi jaminan bahawa untuk 85 peratus rakyat tidak akan terkesan. Sebab itu memang dijamin oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan pelancaran Sustainable Rebate and Incentive Assistance (SuRIA) hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, hanya pengguna yang menggunakan elektrik melebihi 600 kW sebulan berkemungkinan mengalami sedikit pelarasan, namun kesannya dijangka tidak membebankan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, kerajaan sedang berusaha memastikan bekalan tenaga negara dapat dilanjutkan hingga Disember depan susulan krisis bekalan global.
Beliau berkata, setakat ini keterjaminan bekalan tenaga mencukupi sehingga Julai ini termasuk sedang berusaha mendapatkan sumber dari luar negara.
“Langkah itu bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga serta memastikan bekalan minyak dan gas negara dapat bertahan lebih lama.
“Petronas sedang bertungkus lumus untuk mendapat sumber bekalan malahan terpaksa pergi ke Afrika sekalipun. Insya-Allah kita akan dapat keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Disember,” katanya.






