
KOTA KINABALU: Ahli keluarga lazimnya sukar menerima hakikat dan berada dalam keadaan penafian apabila seseorang yang rapat dengan mereka dipercayai membunuh diri, kata pakar perunding psikiatri forensik, Dr. Chua Sze Hung.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari ke-72 inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner di sini hari ini.
Dr. Sze Hung bersetuju dengan cadangan peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah mengenai cara kematian remaja itu adalah konsisten dengan bunuh diri, meskipun mangsa sebelum ini digambarkan sebagai seorang yang ceria.
Menurutnya, individu yang mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri tidak semestinya menunjukkan tekanan emosi secara terbuka, malah ada yang sengaja menyembunyikan keadaan mental sebenar daripada pengetahuan keluarga dan orang sekeliling.
“Mereka mungkin cuba menutup tekanan emosi atau psikologi yang dialami supaya tidak membimbangkan orang lain,” katanya.
Namun, beliau menjelaskan terdapat unsur kecederaan diri tanpa niat membunuh diri atau non-suicidal self-injury (NSSI) selain kesan kecederaan berbentuk ‘barcode’ yang boleh menjadi petunjuk tekanan emosi dan psikologi.
“Tujuan NSSI dilakukan adalah untuk mengawal emosi dan mengurangkan emosi negatif,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Koroner diberitahu beberapa saksi pernah melihat Zara Qairina menunjukkan kesan ‘barcode’ pada tangannya kepada individu lain.
Dalam prosiding sama, Abdul Fikry turut mendapatkan pengesahan saksi mengenai reaksi ahli keluarga dalam kes membabitkan bunuh diri.
Peguam itu bertanyakan sama ada ahli keluarga lazimnya mengalami kejutan, penafian dan sukar mempercayai tindakan mangsa kerana tidak mengetahui pergolakan emosi dalaman yang dialami.
Dr. Sze Hung bersetuju dengan cadangan itu, termasuk bahawa reaksi penafian bukan sesuatu yang luar biasa terutama apabila si mati kelihatan normal atau gembira sebelum kematian.
Beliau turut bersetuju kesukaran ahli keluarga menerima kemungkinan bunuh diri tidak menafikan dapatan forensik dan psikologi yang konsisten dengan punca kematian berkenaan.






