
MARANG: Pas meneliti semula bentuk kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas beberapa tindakan parti berkenaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa tidak selari dengan semangat kerjasama dalam kalangan komponen Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan tersebut dibuat berikutan beberapa perkembangan terkini yang menimbulkan ketidakpuasan dalam parti.
Antaranya, beliau menjelaskan, tindakan Bersatu memecat beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, yang juga merupakan pemimpin dalam parti tersebut.
Beliau menegaskan, sebarang tindakan melibatkan pemecatan atau pertukaran pemimpin tidak wajar dilakukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu disertai justifikasi yang jelas serta tidak menjejaskan keharmonian dan kekuatan parti komponen.
“Bersatu juga bertindak menyekat keahlian parti Melayu-Islam ke dalam PN. Dia tidak setuju keahlian baharu dalam PN.
“Kita nak banyakkan lagi anggota dalam PN, tetapi tiba-tiba dia tolak. Jadi (ini) tak menyenangkan dan membahagiakan kita,” katanya dalam satu siding media hari ini.
Abdul Hadi yang merupakan Ahli Parlimen Marang berkata Pas tidak dapat menerima penjelasan yang diberikan oleh dua ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU di Negeri Sembilan berhubung tindakan menarik semula akuan bersumpah (SD) yang sebelum ini menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurutnya, tindakan kedua-dua ADUN tersebut yang memilih untuk mengambil pendirian berkecuali dalam isu berkenaan dilihat boleh memberi kesan kepada kesepaduan dan semangat setiakawan dalam kalangan parti komponen PN.
Beliau turut mendedahkan realiti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini apabila Bersatu hanya menuntut jumlah calon tetapi tidak mempunyai jentera mencukupi untuk bekerja.
”Mereka ada calon tetapi petugasnya terlampau sedikit berbanding jumlah keahlian yang didakwa beribu-ribu orang, akhirnya kita mengerahkan jentera Pas turun bekerja di lapangan. Kita mengambil kira semua aspek ini,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi mengesahkan Pas sudah menghantar surat kepada Bersatu pada 9 Mei lalu, selain mengadakan perbincangan secara bersemuka pada mesyuarat PN.
Katanya, walaupun PAS belum menetapkan tarikh akhir bagi mendapatkan jawapan daripada Bersatu tetapi Majlis Syura Ulama dan Lajnah Pilihan Raya serta bahagian penyelidikan parti sudah diminta memperincikan isu itu.
“Kita rasa tidak menjejaskan PN dan kita akan bertanding atas nama gabungan. PAS adalah penggerak utama PN dan pimpinan ada hak untuk menentukan hala tuju dalam pilihan raya,” katanya.







