
KUALA LUMPUR: Saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin terhadap Datuk Seri Jamal Md Yunos berakhir apabila Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu memohon maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi hari ini.
Tindakan undang-undang tersebut difailkan oleh Khairy pada 24 Mei 2023 susulan kenyataan media yang didakwa berunsur fitnah semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 14 Januari tahun berkenaan.
Ketika membacakan draf penghakiman persetujuan, Jamal mengakui bahawa dakwaan yang dibuat terhadap bekas Ahli Parlimen Rembau itu adalah tidak tepat, tidak berasas serta tidak disokong oleh bukti yang mencukupi.
“Saya sesungguhnya kesal atas penerbitan dan penyebaran kenyataan itu yang menyebabkan gangguan, penghinaan awam serta kerosakan kepada reputasi, nama baik dan kredibiliti Khairy.
“Oleh itu, saya menarik balik sepenuhnya segala kenyataan fitnah yang saya keluarkan terhadap Khairy pada sidang media dan penerbitan itu,” katanya.
Beliau turut memohon maaf kepada Khairy atas kesulitan, tekanan dan kerosakan reputasi yang timbul akibat daripada kenyataan berkenaan.





