
JAKARTA: YouTuber Indonesia, Frans Sanjaya dan seorang pekerja muzium dikenali sebagai Sadan tampil memohon maaf selepas mencetuskan kontroversi apabila mendakwa siri animasi popular Upin & Ipin berasal dari Indonesia.
Permohonan maaf itu dibuat menerusi satu video yang dimuat naik di YouTube selepas kenyataan mereka mengundang pelbagai reaksi daripada netizen Malaysia dan Indonesia.
Dalam video berkenaan, kedua-duanya mengakui kekhilafan berhubung dakwaan bahawa hak cipta asal karakter Upin & Ipin yang kononnya dikenali sebagai ‘Ariffin’ telah dibeli oleh sebuah syarikat produksi Malaysia pada tahun 2008.
“Kami ingin memohon maaf sebesar-besarnya kepada rakyat Malaysia dan Indonesia atas salah faham serta kekeliruan yang telah kami timbulkan.
“Kami mengambil maklum segala komen yang diberikan dan mengakui kekhilafan kami. Kami sama sekali tidak berniat untuk membuat tuntutan atau merendahkan mana-mana pihak,” kata mereka.
Mereka turut berharap isu berkenaan dapat diselesaikan secara baik sambil menegaskan hubungan Malaysia dan Indonesia sebagai negara serumpun perlu terus dipelihara.
Sebelum ini, tular video memaparkan Frans ketika melawat Muzium Wayang di Indonesia bersama Sadan sebelum mendakwa Upin & Ipin berasal dari negara itu.
Dakwaan tersebut bagaimanapun menerima maklum balas daripada syarikat produksi, Les’ Copaque Production yang menegaskan siri animasi berkenaan merupakan karya asli milik syarikat itu sepenuhnya.
Siri animasi Upin & Ipin mula diterbitkan pada tahun 2007 dan sehingga kini kekal popular di seluruh Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia.







