
LONDON: TikTok dan YouTube milik Alphabet Inc. dikritik pengawal selia media Britain, Ofcom kerana didakwa gagal memperkenalkan langkah lebih berkesan bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya dalam talian.
Ofcom memaklumkan kedua-dua platform itu masih belum memberikan komitmen baharu yang signifikan untuk menjadikan algoritma cadangan kandungan lebih selamat, walaupun fungsi berkenaan dikenal pasti sebagai laluan utama kanak-kanak terdedah kepada kandungan berisiko.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer sebelum ini turut menggesa syarikat media sosial memainkan peranan lebih besar dalam memastikan keselamatan pengguna muda di internet.
Britain kini mempertimbangkan pelaksanaan kawalan lebih ketat termasuk kemungkinan melarang individu berusia bawah 16 tahun menggunakan media sosial, seiring langkah diambil Australia bagi menangani ciri aplikasi yang dianggap mendorong ketagihan.
Kajian Ofcom mendapati 73 peratus kanak-kanak berusia antara 11 hingga 17 tahun terdedah kepada kandungan berbahaya dalam tempoh empat minggu kebelakangan ini, dengan majoritinya melalui algoritma cadangan kandungan peribadi.
TikTok dikenal pasti sebagai platform paling kerap dikaitkan dengan pendedahan tersebut, diikuti YouTube, Instagram milik Meta Platforms dan Snapchat milik Snap Inc..
Walaupun TikTok dan YouTube menegaskan sistem sedia ada mencukupi, Ofcom berpandangan algoritma cadangan kandungan di kedua-dua platform itu masih belum cukup selamat untuk pengguna muda.
Jurucakap YouTube berkata platform itu menyediakan pengalaman penggunaan yang sesuai mengikut umur dengan kerjasama pakar keselamatan kanak-kanak.
TikTok melahirkan rasa kecewa terhadap penilaian Ofcom dan menegaskan pihaknya sudah memperkenalkan pelbagai ciri keselamatan baharu serta sedia ada.
Sebelum ini, Roblox, Snap dan Meta bersetuju memperketat perlindungan terhadap eksploitasi seksual dalam talian susulan tuntutan Ofcom.
Antara langkah dipersetujui termasuk menyekat orang dewasa tidak dikenali daripada menghubungi kanak-kanak secara automatik, memperluas semakan umur serta menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan perbualan mencurigakan.
Menurut Ofcom, hampir setahun selepas tanggungjawab keselamatan kanak-kanak di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian dikuatkuasakan, masih belum terdapat peningkatan ketara dalam usaha mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan berbahaya.
Pengawal selia itu turut menegur kelemahan penguatkuasaan syarat umur minimum apabila 84 peratus kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun didapati menggunakan platform yang menetapkan had umur minimum 13 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, platform X milik Elon Musk bersetuju memperketat penguatkuasaan terhadap ucapan kebencian dan kandungan keganasan haram termasuk menilai kandungan sedemikian dalam tempoh purata 24 jam.
Ofcom turut memaklumkan pihaknya masih meneliti sistem X dan chatbot Grok susulan laporan Reuters yang mendapati alat itu berupaya menghasilkan imej berunsur seksual dalam beberapa keadaan walaupun amaran keselamatan diberikan.




