
KUALA LUMPUR : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan kebimbangan terhadap pertikaian dan konflik yang semakin kerap berlaku dalam kalangan ahli politik sehingga berpotensi mencetuskan kegelisahan dalam kalangan rakyat.
Baginda bertitah, situasi berkenaan wajar dihentikan segera kerana perbalahan sesama sendiri hanya akan melemahkan kedudukan orang Melayu serta umat Islam di negara ini.
“Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah.
“Semua pihak seharusnya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu Islam telah membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri,” titah baginda dalam Perutusan Hari Raya Aidiladha 2026.
Sehubungan itu, baginda menzahirkan harapan agar orang Melayu serta umat Islam di negara ini kekal bersatu, merangkumi semua lapisan daripada pemimpin politik hingga rakyat biasa.
Bagaimanapun, baginda menegaskan perpaduan tersebut tidak wajar disalah erti sebagai usaha untuk memusuhi kaum lain.
Sebaliknya, titah Sultan Selangor, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup dalam keadaan bersatu akan menyumbang kepada suasana negara yang lebih aman dan stabil, selain memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat.
Dalam pada itu, baginda bertitah sambutan Aidiladha membawa makna mendalam tentang pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah, seperti yang dipamerkan oleh jutaan umat Islam yang berkumpul di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan.
“Di kesempatan sambutan Aidiladha ini juga, Beta mahu agar semua kaum, bangsa dan semua agama di negara ini saling hormat menghormati sensitiviti antara satu sama lain dan hidup aman damai.
“Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangan ketika era Kerajaan Uthmaniyyah apabila masyarakat berbilang bangsa hidup harmoni di bawah pemerintahan Islam,” titah baginda.
Pada masa sama, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor turut mendoakan seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan urusan ibadah serta memperoleh haji mabrur.







