
NARAYANGANJ: Seekor kerbau albino unik yang memiliki bulu perang panjang menyerupai gaya rambut Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjadi tumpuan ramai menjelang sambutan Aidiladha di Bangladesh.
Kerbau seberat 700 kilogram itu diberi gelaran ‘Donald Trump’ oleh pemiliknya, Zia Uddin Mridha, 38, kerana bulu di bahagian kepalanya dikatakan mirip gaya rambut ikonik presiden AS berkenaan.
Menurut Mridha, nama itu dipilih oleh adiknya kerana penampilan kerbau tersebut yang luar biasa berbanding haiwan ternakan lain.
“Bulu kerbau ini sangat unik dan berbeza daripada yang lain,” katanya kepada AFP di ladang ternakannya di Narayanganj, di pinggir Dhaka.
Sejak awal bulan ini, ladang berkenaan menerima kunjungan orang ramai termasuk kanak-kanak dan pengguna media sosial yang mahu melihat sendiri haiwan terbabit.
Tinjauan AFP mendapati beberapa pekerja ladang menuang air ke kepala kerbau itu sebelum menyikat bulu perang di atas kepalanya menggunakan berus berwarna merah jambu.
Mridha berkata, kerbau tersebut dimandikan sebanyak empat kali sehari bagi memastikan keadaannya sentiasa bersih dan terurus.
Pegawai Jabatan Ternakan Bangladesh memaklumkan kerbau albino amat jarang ditemui dan kebiasaannya mempunyai warna putih atau merah jambu akibat kekurangan melanin.
Bangladesh yang majoriti penduduknya beragama Islam kini giat membuat persiapan menyambut Aidiladha hujung bulan ini.
Lebih 12 juta haiwan ternakan termasuk lembu, kambing, biri-biri dan kerbau dijangka dikorbankan sepanjang perayaan berkenaan.
Menurut Mridha, kehadiran pengunjung yang terlalu ramai menyebabkan kerbau itu mengalami tekanan sehingga kehilangan berat badan, sekali gus memaksanya mengehadkan tontonan awam.
Namun, keadaan itu tidak menghalang orang ramai terutama kanak-kanak daripada terus datang mengintai haiwan berkenaan dari pintu pagar ladang.
Seorang pengunjung, Faisal Ahmed, 30, berkata dia datang bersama ahli keluarga dan rakan-rakan semata-mata untuk melihat ‘Donald Trump’.
“Memang ada persamaan pada gaya rambutnya. Anak saudara saya sanggup menaiki bot selama sejam hanya untuk melihat kerbau ini,” katanya.
Selain ‘Donald Trump’, ladang tersebut turut memiliki haiwan lain dengan nama unik seperti ‘Tufan’, ‘Fat Boy’ dan ‘Sweet Boy’ manakala seekor lembu berbulu perang dinamakan sempena Neymar kerana warna bulunya menyerupai gaya rambut pemain bola sepak Brazil itu.
Mridha mengakui dia akan merindui kerbau berusia empat tahun tersebut, namun menyifatkan pengorbanan itu sebagai sebahagian daripada semangat Aidiladha.





