
SEPANG: Masyarakat dunia perlu terus mengecam dan mendesak pembebasan aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang kini diculik dan ditahan Israel.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC,) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, keadaan kini semakin tegang apabila aktivis termasuk rakyat Malaysia berisiko ditahan lebih lama rejim Zionis, khususnya jika dipindahkan ke Penjara Ketziot.
“Situasi tegang yang saya sebutkan tadi melibatkan tiga senario iaitu senario (membabitkan aktivis akan) dibebaskan kepada yang pertama kali ditahan dan diculik.
“Senario kedua adalah kumpulan yang kali kedua masuk di dalam penjara mereka dan menjadi kumpulan yang berpotensi dipenjarakan serta ditahan lama.
“Yang paling kritikal adalah kumpulan ketiga, dengan keberanian mereka itu mengugut Israel menyebabkan Israel mengancam untuk meletakkan mereka ditahan lama di Penjara Ketzio,” katanya pada sidang media perkembangan Misi GSF 2.0 di sini hari ini.
Sebelum ini tular video dimuat naik Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir di media sosial yang menunjukkan aktivis ditahan dengan tangan diikat dan dipaksa berlutut selepas ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.
Sani Araby berkata, video dimuat naik Ben-Gvir itu membuktikan yang rejim Israel begitu angkuh serta sengaja mempamerkan kepada dunia sikap tidak berperikemanusiaan mereka terhadap aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia mendoakan aktivis kemanusiaan GSF 2.0 kerana keberanian mereka membuka mata dunia mengenai kekejaman Israel dan usaha pembebasan Gaza.





