
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan melaksanakan e-Invois Fasa 4 dan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) Fasa 1 mulai 1 Januari 2026, selaras agenda reformasi percukaian dan transformasi digital negara.
Pelaksanaan e-Invois Fasa 4 melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta dan dijangka menyokong Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) khususnya dalam pendigitalan serta pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Dalam satu kenyataan, LHDN berkata, e-Invois mampu meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh pengurusan rekod dan memudahkan pematuhan cukai secara lebih telus.
“Terkini, lebih 843 juta e-Invois telah direkodkan melibatkan 113,800 pembayar cukai di seluruh negara, membuktikan tahap penerimaan yang memberangsangkan serta komitmen pembayar cukai terhadap pelaksanaan inisiatif ini.
“LHDN turut merakamkan penghargaan kepada lebih 48,800 perniagaan, khususnya pembayar cukai Fasa 4, yang telah melaksanakan e-Invois secara sukarela sebagai persediaan awal sebelum pelaksanaan mandatori,” kata kenyataan itu.
Bagi memastikan pelaksanaan lebih inklusif, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian e-Invois bagi pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM1 juta, bagi memberi ruang kepada perniagaan kecil memperkukuh kedudukan ekonomi sebelum beralih sepenuhnya ke era pendigitalan.
Namun, LHDN menggalakkan semua pembayar cukai meneroka manfaat e-Invois secara sukarela untuk meningkatkan daya saing perniagaan.
“Bagi menyokong pelaksanaan itu, LHDN menyediakan Portal MyInvois secara percuma, termasuk MyInvois e-POS, platform Point-of-Sale digital yang membantu mengurangkan kos operasi seperti langganan perisian, percetakan dan penyimpanan dokumen fizikal.
“Sebagai galakan, perniagaan yang mendaftar dan menggunakan MyInvois e-POS mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2026 boleh mendapatkan pencetak resit percuma daripada LHDN,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, pelaksanaan STSDS Fasa 1 akan menggantikan sepenuhnya Sistem STAMPS, yang ditamatkan hari ini.
Katanya, semua urusan penyeteman akan dimigrasikan ke Sistem e-Duti Setem bermula 1 Januari 2026.
“Ujian log masuk ke Portal MyTax telah dibuka lebih awal mulai 17 Dis lepas bagi memudahkan peralihan, namun masih terdapat pengguna STAMPS yang belum memiliki Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau Sijil Digital, sekali gus menjejaskan akses ke portal.
“Sebagai langkah sementara, pengguna STAMPS sedia ada dibenarkan mengakses Sistem e-Duti Setem melalui pautan https://stamps.hasil.gov.my/stamps/ sehingga 30 Jun 2026 bagi semua kategori surat cara,” ujarnya.
LHDN menggalakkan semua pembayar duti dan ejen menggunakan Portal MyTax sebagai hab utama dengan satu ID bagi semua aplikasi LHDN, serta mengambil tindakan segera untuk mendapatkan TIN dan Sijil Digital.
Sistem STAMPS akan ditutup bermula 6 petang ini bagi tujuan penyelenggaraan dan migrasi data, manakala Sistem e-Duti Setem boleh diakses esok mulai 8 pagi.
Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui Hasil Contact Centre (HCC) di 03-8911 1000, Meja Bantuan e-Invois HASiL di 03-8682 8000 (24 jam), e-mel myinvois@hasil.gov.my, atau HASiL Live Chat.





