
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman yang dijatuhkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan dokumentasi tujuh pemain warisan.
Pemangku Presidennya, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi, menjelaskan CAS menetapkan pihak peguam FAM perlu mengemukakan hujahan bertulis penuh dalam tempoh 10 hari sehingga 18 Disember ini.
“FAM telah mengemukakan pernyataan rayuan kepada CAS berhubung hukuman yang dikenakan FIFA terhadap badan induk serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mohd. Yusoff, FAM memberi komitmen penuh untuk melalui proses ini secara profesional, telus dan menghormati semua prosedur perundangan yang ditetapkan.
“Segala perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Bulan lalu, FIFA mendedahkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat berikutan penolakan rayuan FAM dan tujuh pemain pada 3 November lalu.
Keputusan itu mengekalkan hukuman denda CHF350,000 (sekitar RM1.8 juta) yang dijatuhkan ke atas FAM oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu.
Selain itu, tujuh pemain terbabit digantung selama 12 bulan dan dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang.
Tujuh pemain itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.







