
KUALA LUMPUR: Malaysia menyeru Kemboja dan Thailand merujuk semula serta mematuhi sepenuhnya Perenggan Ketujuh Perjanjian Gencatan Senjata bertarikh 28 Julai lalu, susulan ketegangan terbaharu di sempadan kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, saranan itu dibuat sejajar dengan semangat persefahaman serantau dan komitmen yang telah dizahirkan oleh kedua-dua pihak melalui Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
“Perenggan berkenaan menegaskan kedua-dua pihak perlu segera berunding di peringkat tempatan melalui mekanisme dua hala sedia ada bagi mengelak keadaan di sempadan terus memuncak jika berlaku konflik bersenjata, sama ada sengaja atau tidak.
“Malaysia yakin keamanan dan kestabilan serantau dapat dikekalkan melalui dialog berterusan, langkah diplomatik konstruktif dan penghormatan terhadap mekanisme sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas laporan tindakan Thailand melancarkan serangan udara terhadap Kemboja, selepas tercetus pertempuran baharu di kawasan sempadan pagi tadi.
Media antarabangsa melaporkan kedua-dua negara saling menuduh pihak lawan melepaskan tembakan di kawasan pertikaian, selepas beberapa minggu ketegangan meningkat serta penggantungan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata oleh Thailand.
Insiden itu turut dikaitkan dengan kematian seorang anggota tentera Thailand dan kecederaan beberapa yang lain dalam pertempuran terbaharu di wilayah Ubon Ratchathani.
Menurut tentera Thailand, pertempuran meletus apabila pasukan Kemboja didakwa melepaskan tembakan ke arah anggota mereka pada awal pagi.
Situasi itu sekali gus mengancam usaha damai yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dua bulan lalu.
Mohamad menegaskan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau kekal menjadi keutamaan Malaysia.
“Malaysia memandang serius perkembangan di sempadan Thailand–Kemboja dan menggesa semua pihak mengambil langkah segera bagi meredakan keadaan serta mengelak insiden yang boleh menjejaskan usaha perdamaian sebelum ini.
“Kami mengiktiraf komitmen kedua-dua negara melalui Perjanjian Gencatan Senjata 28 Julai lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) pada 7 Ogos, serta Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai pada 26 Oktober,” katanya.






