Alor Setar: Reruai pertahanan negara menjadi medan ilmu dan menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan pengunjung Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK 2025).
Pameran berkenaan menyemai semangat cinta kepada negara dengan memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya generasi muda mengenai peranan penting pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Antara tarikan utama termasuk asset-aset pertahanan negara, senjata ringan, pakaian seragam, sistem komunikasi medan perang dan banyak lagi.
Pegawai Muzium Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Syahidatunnur Semaon menambah, pameran bertemakan Warriors In The Sky itu memperkenalkan aset-aset terkini yang digunakan TUDM kepada para pengunjung.
“Sebagai contoh, terdapat model-model seperti Airbus A400M, Sukhoi SU-30MKM, Airbus Helicopters H225M dan banyak lagi.
“Aset-aset tersebut yang memastikan pertahanan udara kita sentiasa dalam keadaan selamat dan aman,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana bentuk dan kehebatan aset-aset tersebut.
Selain itu, katanya lagi, terdapat juga replika bom yang digunakan pada pesawat Sukhoi untuk tatapan para pengunjung.
“Sebelum ini, orang takut untuk mendekati bom yang kita gunakan tetapi pameran yang berlangsung kali ini dapat memberi pendedahan kepada mereka.
“Seiring bulan kemerdekaan pada bulan hadapan, melalui pameran ini, secara tidak langsung akan menyemarakkan semangat cintakan kepada negara dan menarik minat generasi muda untuk menyertai TLDM,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Muzium Tentera Darat, Leftenan Kolonel Mohd. Yazid Nordin menjelaskan, konsep yang diketengahkan pameran adalah Perang Dunia Kedua melibatkan negeri Kedah.
“Pameran memaparkan mengenai Battle of Jitra ataupun Pertempuran Jitra yang merupakan antara pertempuran awal dalam kempen menawan Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua.
“Terdapat juga meriam Italian Breda 47mm anti kereta kebal yang pernah digunakan Divisyen ke-11 Tentera British India sebagai pertahanan di Gurun, Kedah sewaktu bertempur dengan Tentera Jepun pada 14 Disember 1941,” katanya.
Beliau memberitahu, pameran dapat menunjukkan kepada masyarakat bahawa negara pernah dijajah oleh negara luar malah memberi kesan kepada penduduk Tanah Melayu.
Katanya, pameran juga memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai penjajahan, pakaian seragam dan artifak pra kemerdekaan.

Pegawai Staf 3 Sejarah Pusat Strategi Maritim dan Sejarah (PUSMAS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Simpanan Sukarela TLDM, Leftenan Razin Roslan pula berkata, pameran memberi penekanan kepada evolusi perjuangan kewujudan TLDM.
“Sejarah TLDM bermula dengan penubuhan pasukan Straits Settlement Naval Volunteer Reserve (SSNVR) di Singapura pada 27 April 1934.
“Oleh kerana keadaan politik semasa yang tidak stabil pada ketika itu iaitu selepas Perang Dunia Pertama, sebagai permulaaan Kerajaan British telah menubuhkan Pasukan SSNVR untuk mempertahankan Singapura sahaja,” katanya.
Beliau menjelaskan, Majlis Mesyuarat Undangan Singapura mewartakan Malayan Naval Force Ordinance 1948 yang mengesahkan penubuhan sebuah pasukan tentera laut.

Katanya, pasukan tersebut dinamakan sebagai Malayan Naval Force (MNF).
“Mengapa memberi penekanan kepada evolusi adalah supaya pengunjung dapat melihat perkembangan TLDM sehingga hari ini.
“Sejarah ini sangat penting untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan pengunjung terutama generasi muda,” ujarnya.
FHMAPK 2025 di Muzium Padi di sini turut menampilkan reruai Muzium Polis Diraja Malaysia yang menampilkan tema Op Daulat dalam misi mempertahankan kedaulatan negara.
