
KUALA LUMPUR: Kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memimpin rundingan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Thailand dan Kemboja mendapat pujian meluas, termasuk daripada kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan China.
Namun, di sebalik pengiktirafan antarabangsa terhadap peranan aktif Malaysia dalam keamanan serantau, masih ada segelintir pihak dalam negara yang terus memperlekeh dan mempertikaikan usaha tersebut.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, menyatakan kekesalan terhadap sikap pembangkang yang dilihat lebih cenderung melihat kegagalan berbanding mengiktiraf pencapaian negara.
“Ironinya, yang memperlekeh ini bukan orang luar, tetapi pembangkang dalam negara sendiri.
“Mereka nampaknya lebih rela melihat kegagalan daripada meraikan kejayaan yang membawa nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di platform X.
Beliau beliau, usaha yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri tidak wajar dilihat dari lensa politik kepartian semata-mata kerana ia menyentuh soal maruah negara serta peranan Malaysia sebagai pemimpin berpengaruh di rantau ini.
“Dunia menyambut baik usaha ini, daripada Presiden AS dan Presiden China sehinggalah seluruh komuniti ASEAN. Malangnya, pembangkang kita memilih untuk bersikap sinis dan pesimis.
“Ketika mereka berkuasa dahulu, tiada satu pun kejayaan diplomatik seumpama ini yang berjaya dicapai. Kini, apabila Malaysia tampil sebagai pemain utama diplomasi serantau, mereka memilih untuk menabur kebencian dan memperlekeh kejayaan ini,” katanya.
Muhammad Kamil, yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, turut mengecam sikap sinis Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, yang memuat naik karikatur berunsur sindiran melibatkan monyet, kambing dan biri-biri selepas pengumuman gencatan senjata tersebut.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak patriotik dan mencemarkan imej negara di mata dunia.
“Karikatur itu sangat tidak sensitif. Ia menggambarkan penghinaan bukan sahaja kepada usaha diplomatik yang sedang dijalankan, malah kepada negara-negara jiran yang terlibat dalam konflik.
“Sikap seperti ini tidak sepatutnya dibiarkan menjadi liabiliti kepada imej Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, sikap sedemikian juga bertentangan dengan prinsip Islam yang mengutamakan perdamaian.
“Tindakan sedemikian mencerminkan kebencian politik yang melampau dan menyimpang daripada ajaran Islam yang menggalakkan penyelesaian aman.
“Malaysia akan terus menjulang nama baiknya melalui diplomasi dan kemanusiaan, bukan melalui retorik dan penghinaan.”
Susulan itu, beliau menggesa Ahmad Fadhli membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja.
“Malaysia tidak akan mempertahankan sebarang tindakan yang bersifat biadab atau tidak menghormati negara jiran.
“Kita juga tidak akan bersetuju sekiranya negara kita diperlakukan sedemikian rupa oleh pihak luar,” katanya.
Ahmad Fadhli sebelum ini dilaporkan memadam hantaran tersebut yang mengandungi karikatur sindiran selepas rundingan damai antara Thailand dan Kemboja berjaya mencapai persetujuan gencatan senjata.





