
Baling: Program Komuniti Kembara Ilmu Jom Gi Baling sempena Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK 2025) mampu menjadi platform mendekati masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy, berkata program diadakan itu adalah satu usaha yang baik bagi mewujudkan rasa kepemilikan dalam komuniti.
“Melalui konsep muzium bersama komuniti, penglibatan masyarakat dalam pemeliharaan warisan budaya dapat dipertingkatkan.
“Muzium haruslah menjadi institusi bagi komuniti merasakan bahawa warisan, budaya dan sejarah mereka dihargai serta dilindungi.
“Selain itu, pertukaran ilmu antara generasi dapat dilaksanakan apabila komuniti mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan dan idea dalam pembangunan program serta aktiviti muzium,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Program Komuniti Kembara Ilmu Jom Gi Baling di Dusun Tok Wak hari ini.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

Pada program berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dan suku kaum Kensiu antara etnik Orang Asli tertua di Semenanjung.
Beliau menambah, pendekatan muzium bersama komuniti bukan hanya memperkukuh hubungan antara institusi budaya dan rakyat malah dapat memelihara identiti komuniti yang sering terpinggir dalam naratif arus perdana.
Ujarnya lagi, konsep muzium bersama komuniti mencerminkan transformasi institusi muzium menjadi entiti yang lebih terbuka dan berorientasikan masyarakat.
“Melalui penglibatan secara langsung oleh komuniti, muzium bukan sahaja dapat memelihara warisan dengan lebih efektif malah membina masyarakat yang lebih sedar akan identiti dan sejarah mereka.
“Kementerian Perpaduan Negara telah melaksanakan pelbagai program bagi merealisasikan usaha membina, memperkukuh dan mengekalkan perpaduan negara sejajar dengan hasrat Perdana Menteri untuk melahirkan Masyarakat MADANI,” jelasnya.

Justeru, katanya, usaha-usaha baharu penyatupaduan perlu dipertingkatkan untuk membina tapak intergrasi bagi pengukuhan semangat muhibah dalam kalangan rakyat.
Dalam usaha melaksanakan agenda perpaduan negara,beliau memberitahu kerjasama antara pelbagai pihak perlulah dibina.
“Penganjuran program secara kolaborasi strategik berupaya menjadi mekanisme yang dapat memperkukuh jaringan dan jalinan usaha-usaha pemerkasaan agenda perpaduan negara,” katanya.

Terdahulu, beliau melawat Galeri Rundingan Baling yang menjadi lipatan sejarah negara pada 28 dan 29 Disember 1955 sebagai usaha menamatkan pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM).
Beliau turut menyerahkan sumbangan kit DIY kepada Pejabat Pendidikan Daerah Baling dan menandatangani plak mural sejarah, Pendidikan dan perpaduan di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera.
Pada festival tersebut, sebanyak 102 aktiviti telah disusun sepanjang sambutan berlangsung sehingga 29 Julai nanti.





