
KOTA BHARU: Penyanyi dikir barat moden terkenal, Eda Ezrin kemungkinan tidak akan dibebaskan minggu hadapan.
Hal ini berikutan tindakan pihak pendakwa raya Thailand yang bakal mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membebaskan dia dan lima lagi rakyat Malaysia.
Menurut sumber, pendakwa raya kini mencari tarikh perbicaraan baharu sebelum tempoh rayuan tamat pada 6 Ogos ini.
“Rayuan sudah dibawa ke mahkamah pusat dan kes ini dijangka dirujuk semula ke mahkamah asal di Narathiwat untuk perbicaraan baharu,” kata sumber berkenaan.
Pihak pendakwaan juga mungkin mempertimbangkan untuk membuka fail baharu terhadap kesemua enam individu terbabit, namun tuduhan yang bakal dikenakan masih belum jelas setakat ini.
Pada Mac lalu, Mahkamah Narathiwat membebaskan Eda Ezrin dan lima rakyat Malaysia lain daripada pertuduhan memiliki pil, selepas perbicaraan singkat selama 30 minit yang dikendalikan oleh panel dua hakim.
Bagaimanapun, bagi pertuduhan berasingan berkaitan penggunaan dadah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda 4,000 baht (kira-kira RM526) terhadap setiap tertuduh.





