PAPAR: Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Datin Rosnih Nasir menafikan pembabitannya dalam insiden tragik yang mengorbankan pelajar Tingkatan Satu sekolah itu, Zara Qairina Mahathir.
Menurut Rosnih, beliau sudah bersara dari perkhidmatan sebelum kejadian berlaku dan tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan pentadbiran sekolah pada waktu itu.
“Saya terpanggil untuk memberi penjelasan berikutan fitnah dan kekeliruan yang tular dalam media sosial, yang mengaitkan nama saya dengan insiden menyayat hati melibatkan Allahyarhamah adik Zara Qairina.
“Saya berkhidmat sebagai Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha dari 10 Mac hingga 22 November tahun lalu sebelum bersara,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Rosnih menegaskan beliau tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.
“Sebagai seorang ibu dan pendidik, peristiwa ini amat menyedihkan. Saya menafikan sebarang dakwaan yang cuba mengaitkan saya dengan tragedi berkenaan,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah.
“Semoga keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang berat ini,” katanya.
Rosnih turut menyatakan sokongan penuhnya terhadap siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Saya percaya kebenaran akan terserlah selepas siasatan selesai,” katanya sambil mengakhiri kenyataan dengan tanda pagar #justiceforzara.
Zara Qairina ditemui dalam keadaan parah kira-kira pukul 3 pagi pada 16 Julai lalu di bawah bangunan asrama sekolah berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.
Namun, pelajar berusia 13 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari keesokannya.
Pihak polis memaklumkan bahawa siasatan kes masih diteruskan.
