
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat bekas wartawan Utusan Malaysia, Nurulanuar Mansor, yang meninggal dunia semalam dipercayai akibat pembuluh darah pecah.
Dalam satu hantaran di Facebook, Fahmi menyatakan rasa dukacitanya atas pemergian Allahyarham, yang juga ahli Kelab Wartawan Kuala Lumpur dan Selangor (KLS), dan menyifatkannya sebagai individu yang amat berbakat dalam bidang seni.
“Allahyarham pernah menghasilkan karikatur yang dihadiahkan kepada saya semasa Majlis Makan Malam Gabungan Kelab Media Malaysia bulan lalu.
“Takziah kepada seluruh anggota keluarga dan sahabat handai. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini,” tulisnya.
Fahmi turut mendoakan agar Allah mengampunkan dosa Allahyarham, menerima segala amalannya, dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman.
Presiden KLS, Wan Syamsul Amly Wan Seadey memaklumkan bahawa Nurulanuar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan selepas solat Zuhur di Masjid Saidina Hamzah, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih, Batu Caves, dengan diiringi penghormatan daripada rakan media.





